Suatu hari saya dan beberapa orang teman duduk bersama seorang ustaz untuk
mendengar tazkirah. Sesi itu begitu ringkas dan mengena.
Ustaz mulakan dengan sebuah simulasi. 2 orang kawan saya diberi sebuah buku
setiap seorang. Seorang diberi buku yang tebal, sedangkan seorang lagi bukunya
nipis. Lalu kata ustaz kepada yang diberi buku tebal, “katakan ustaz hadiahkan
buku ini buatmu, apa perasaanmu?”, jawabnya, “gembira!”. Lalu ustaz beralih
kepada yang diberi buku nipis, “bagaimana denganmu?”, katanya, “kurang gembira
kerana lebih nipis berbanding dia”. Ustaz kemudian memberikan arahan
seterusnya, “sekarang, kamu berdua diminta membaca buku tersebut dan bentangkan
pada pertemuan kita yang akan datang”. Di ketika itu, yang berbuku tebal
berkerut dahinya, yang berbuku nipis tersenyum gembira.
Kita selalu gembira dengan kelebihan yang banyak dan bersedih dengan sedikitnya
kelebihan. Kita lupa, bahawa setiap yang diberikan kepada kita pasti akan
dipertanggungjawabkan. Semakin banyak kelebihan, semakin panjang perhitungan.
Kelebihan tidak semestinya bererti kita sedang dimuliakan oleh Allah. Ia juga
boleh menjadi sebuah bentuk azab yang membawa kita jauh daripada-Nya seterusnya
menyusur jalan ke neraka. Jika kelebihan merupakan kemuliaan, maka Fir’aunlah
antara yang paling dimuliakan, kerana dia punya banyak kelebihan. Begitu juga
Qarun, kelebihannya bahkan tak mampu ditandingi dalam membuat harta.
Kekayaannya melimpah-limpah sehingga lekat istilah ‘harta Qarun’ sehingga
sekarang. Sejarah melakarkan begitu banyak manusia yang punya kelebihan
tertentu yang dianugerahkan oleh Allah, namun ternyata mereka tergolong
daripada kalangan orang yang dihinakan oleh Allah.
Kekurangan pula tidak semestinya bererti kita sedang dihinakan. Ia boleh
menjadi sebuah jalan penyucian hati yang membawa kita dekat kepada Allah, tetap
dalam jalan ke syurga. Jika kekurangan merupakan kehinaan, maka para Nabi dan
Rasul adalah antara orang yang dihinakan kerana kekurangan-kekurangan yang ada.
Nabi Musa kurang daripada segi kelancaran berkata-kata. Nabi Ayyub ditimpa
sakit yang perit. Kisah-kisah manusia yang hebat dan dimuliakan Allah tidak
lari daripada kekurangan-kekurangan tertentu yang kelihatan di mata manusia
biasa.
Memang ada yang diberi kelebihan dan dalam masa yang sama dimuliakan, begitu
juga yang dihinakan dan dalam masa yang sama berada dalam serba kekurangan.
Namun, kelebihan dan kekurangan janganlah dijadikan pengukur kepada posisi
manusia di hadapan Allah. Hebatnya orang beriman, apabila diberi nikmat, dia
bersyukur, apabila diberi ujian, dia sabar. Pujian dan penyucian terhadap Allah
tidak lekang dalam apa juga keadaan.
Tabi’at manusia memang begitu. Melihat kelebihan sebagai sebuah bentuk
kemuliaan, dan melihat kekurangan sebagai sebuah bentuk kehinaan. Sedangkan
kedua-duanya adalah ujian yang Allah datangkan. Cara kita melaluinya yang akan
menentukan taraf kita di sisi Allah. Demikianlah tabi’at manusia yang Allah
sebutkan dalam Surah Al-Fajr, ayat 15-16:
“Adapun manusia apabila Tuhannya mengujinya lalu dia dimuliakan-Nya dan
diberi-Nya kesenangan, maka dia akan berkata: “Tuhanku telah memuliakanku”.
Adapun bila Tuhannya mengujinya lalu membatasi rezekinya maka dia berkata:
“Tuhanku menghinakanku”.”
Bersyukurlah atas kelebihan, bersabarlah atas kekurangan. Kehancuran itu adalah
pada merasa tak puas dengan kelebihan yang dianugerahkan. Kebahagiaan itu
adalah pada merasa cukup walaupun serba kekurangan.
Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment
.. Feel Free To Comments ..